Gejala Buli Di Kalangan Pelajar
Definisi Gejala Buli
Buli merupakan satu perbuatan atau tingkah laku
mengasari orang yang lebih lemah yang bertujuan untuk menunjukkan kekuatan yang
ada pada diri masing-masing. Gejala buli boleh didefenisikan sebagai masalah
yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk,
memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Perlakuan
ini boleh berlaku dalam bentuk fizikal dan psikologi secara berulang kali ke
atas mangsa dengan bertujuan untuk mendatangkan perasaan tidak selesa, aman dan
tenteram. Menurut kajian, kes buli ini
menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya
pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi awam.
Kamus
Dewan edisi ketiga pula mentakrifkan buli sebagai perbuatan mendera atau mempermainkan
seseorang dengan tujuan untuk menyesuaikan suasana baru. Selain itu, buli juga bertujuan untuk mempermainkan orang yang
lemah dengan cara mengertak atau menakutkan mereka. Menurut
Norsazali Abdullah, Pensyarah Pengajian Umum Universiti Kuala Lumpur (UniKL),
buli boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif seorang pelajar atau secara
berkumpulan mengganggu mangsa sama ada secara fizikal atau psikologi bagi suatu
jangka masa yang panjang.
Faktor Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar
1)
Pengaruh rakan sebaya
Salah
satu faktor berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar ialah pengaruh daripada
rakan sebaya yang negatif. Para pelajar yang masih terlalu muda, dikatakan
berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih
belum boleh berfikir dengan matang. Hal
ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan
sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Apabila individu itu
tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan besar akan terjebak dengan gejala
buli ini. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan
atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan
kata-kata mereka. Mereka bergerak dalam satu kumpulan dan
melakukan apa yang dilakukan oleh ahli lain bagi mengiktiraf keahlian mereka.
Sebagai contoh, kes Muhammad Afiq Qusyairi bin Baharudin seorang pelajar
tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku,Kuala Lipis Pahang
cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut.
Kumpulan
pelajar ini sanggup bertindak demi kepuasan serta mementingkan keseronokkan tanpa
memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. Petikan
sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang
besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.” Pendek kata, pengaruh dan
tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin
sukar ditangani.
2) Pengaruh media yang berteknologi tinggi
Jika kita
kaji dari dimensi yang lain, pengaruh media yang berteknologi tinggi juga
merupakan antara faktor gejala buli semakin menular dan kian serius bagai duri
dalam daging di negara kita pada hari ini. Pada alaf modenisasi dan globalisasi
ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian
televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media
elektronik menyiarkan rancangan
televisyen yang mengandungi aksi pergaduhan dan pembunuhan yang ganas. Filem dan
rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan
seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas
membawa pengaruh buruk kepada remaja kita. Pelajar yang teruja dengan aksi
tersebut akan meniru kembali aksi yang telah ditonton ke alam realiti. Mereka
mudah terpengaruh dan akan
mengaplikasikan aksi tersebut kepada orang yang lebih lemah daripada mereka
tanpa menyedari bahawa perbuatan
tersebut akan mengundang bahaya. Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa
oleh media berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini
terhadap ibu pertiwi kita.
3) Remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh
Punca
dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan
agama yang teguh. Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai
murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama. Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama
manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan
sebagainya. Malah setiap agama di dunia
ini juga seperti agama Kristian dan Hindu turut menekankan nilai-nilai murni
yang baik dalam kehidupan. Kebanyakan remaja pada hari mempunyai stigma bahawa
ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada
alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari
ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Berlandaskan
sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak
mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat
itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran. Jika situasi ini berterusan
sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Ringkasnya,
ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka menyebabkan gejala buli ini
semakin berleluasa.
1) Berasa
takut untuk datang ke sekolah
Pada
pendapat saya, kesan utama gejala buli ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan
berasa takut untuk datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan
mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan
dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan
pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh
mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah,
mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa
kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar
perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan
ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar
yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Hal ini
juga mengakibatkan kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli
akan meningkat disebabkan mereka takut untuk datang ke sekolah.
2) Tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.
Selain
itu, kesan lain ialah mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya
terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak langsung telah menyukarkan
mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas. Hal ini demikian kerana mereka
sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan
sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka.
Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi
dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil
memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah
diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru.
Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih
buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk
mengelakkan diri daripada dibuli. Ini
menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam
peperiksaan.
3)
Membunuh diri
Selanjutnya,
gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk
membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang
lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan
sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes
yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya
cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri
sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh
diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah
mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa
wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula
baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari
Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan.
Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan
mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk
menamatkan nyawa mereka sendiri.
Langkah Mengatasi Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar1) Memperkukuh peranan ibu bapa
Masalah buli
tidak boleh dibiarkan berleluasa, bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada
penyembuhnya. Terdapat banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi
membendung gejala ini. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi
gejala buli ini adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. lbu bapa perlu
memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada
dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik. Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran
agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik
kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana
pada tanggapan anak mereka, perbuatan
atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Kasih
sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar
dengan sempurna.
2) Mengenakan tindakan
disiplin dan undang-undang
Di
samping itu, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah
dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan
ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan
perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama
dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin
boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama
beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain.
Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar
pembuli ke pusat pemulihan akhlak atau
digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku
dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan
kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa
tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari
mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan
tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli
yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.
3) Peranan pihak kerajaan
Akhir
sekali, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung
gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat
isu kes buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu
diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk
buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung
dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah
kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan
sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk
tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI
yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih
kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah
kempen tersebut dijalankan.
Video di atas menunjukkan langkah menangani gejala buli di sekolah.
Sumber : YouTube (Atro Awani)
Konklusinya
Konklusinya,
masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi
semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk
kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan
sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang
bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi
muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya
sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah,
masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.