Tuesday, August 13, 2019

Gejala Buli Di Kalangan Pelajar


Gejala Buli Di Kalangan Pelajar


Image result for gambar gejala buli dalam kalangan pelajar


Definisi Gejala Buli


Buli merupakan satu perbuatan atau tingkah laku mengasari orang yang lebih lemah yang bertujuan untuk menunjukkan kekuatan yang ada pada diri masing-masing. Gejala buli boleh didefenisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Perlakuan ini boleh berlaku dalam bentuk fizikal dan psikologi secara berulang kali ke atas mangsa dengan bertujuan untuk mendatangkan perasaan tidak selesa, aman dan tenteram. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi awam.



Kamus Dewan edisi ketiga pula mentakrifkan buli sebagai  perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang dengan tujuan untuk menyesuaikan suasana baru. Selain itu, buli  juga bertujuan untuk mempermainkan orang yang lemah dengan cara mengertak atau menakutkan mereka. Menurut Norsazali Abdullah, Pensyarah Pengajian Umum Universiti Kuala Lumpur (UniKL), buli boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif seorang pelajar atau secara berkumpulan mengganggu mangsa sama ada secara fizikal atau psikologi bagi suatu jangka masa yang panjang.   








Faktor Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar



1)    Pengaruh rakan sebaya




Salah satu faktor berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar ialah pengaruh daripada rakan sebaya yang negatif. Para pelajar yang masih terlalu muda, dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Apabila individu itu tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan besar akan terjebak dengan gejala buli ini. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka. Mereka bergerak dalam satu kumpulan dan melakukan apa yang dilakukan oleh ahli lain bagi mengiktiraf keahlian mereka. Sebagai contoh, kes Muhammad Afiq Qusyairi bin Baharudin seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku,Kuala Lipis Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi kepuasan serta mementingkan keseronokkan tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. Petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.” Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin sukar ditangani.



2)    Pengaruh media yang berteknologi tinggi

Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh media yang berteknologi tinggi juga merupakan antara faktor gejala buli semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini. Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media elektronik menyiarkan  rancangan televisyen yang mengandungi aksi pergaduhan dan pembunuhan yang ganas. Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membawa pengaruh buruk kepada remaja kita. Pelajar yang teruja dengan aksi tersebut akan meniru kembali aksi yang telah ditonton ke alam realiti. Mereka mudah terpengaruh dan  akan mengaplikasikan aksi tersebut kepada orang yang lebih lemah daripada mereka tanpa  menyedari bahawa perbuatan tersebut akan mengundang bahaya. Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini terhadap ibu pertiwi kita.


3)    Remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh

Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh. Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Malah setiap agama di dunia ini juga seperti agama Kristian dan Hindu turut menekankan nilai-nilai murni yang baik dalam kehidupan. Kebanyakan remaja pada hari mempunyai stigma bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran. Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Ringkasnya, ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.



Image result for gambar gejala buli dalam kalangan pelajar


Kesan Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar 

1)     Berasa takut untuk datang ke sekolah

Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa takut untuk datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan pembuli.  Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Hal ini juga mengakibatkan kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut untuk datang ke sekolah.


 2)  Tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.

Selain itu, kesan lain ialah mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana  mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli.  Ini menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.


3) Membunuh diri

Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri.



Image result for gambar gejala buli dalam kalangan pelajar

Langkah Mengatasi Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar
 1)  Memperkukuh peranan ibu bapa 


Masalah buli tidak boleh dibiarkan berleluasa, bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya. Terdapat banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli ini adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. lbu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik. Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan  atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna.


2) Mengenakan tindakan disiplin dan undang-undang

Di samping itu, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak  atau digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.


3) Peranan pihak kerajaan

Akhir sekali, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.




Video di atas menunjukkan langkah menangani gejala buli di sekolah.

Sumber : YouTube (Atro Awani)


Konklusinya

Konklusinya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.

Image result for gambar gejala buli dalam kalangan pelajar

6 comments:

Gejala Buli Di Kalangan Pelajar

Gejala Buli Di  Kalangan Pelajar Definisi Gejala Buli Buli merupakan satu perbuatan atau tingkah laku mengasari orang yang ...